/>
Remember Allah In Every Beat Of Your Heart

Tuesday, May 24, 2011

KEMATIAN DISEBABKAN RUNTUHAN BANGUNAN ADALAH MATI SYAHID

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap yang hidup akan mati, dan mati tetap berlaku kepada setiap yang bernyawa. Hanya waktu, masa dan tempat berlaku tiada siapa yang mengetahuinya melainkan Allah SWT. Kematian akan datang bila-bila masa, ada kematian disebabkan kemalangan jalan raya, sakit jantung, kencing manis, disebabkan banjir, gempa bumi dan tanah runtuh. Semua kejadian telah ditetapkan oleh Allah SWT di Loh Mahfuz iaitu di atas qadak dan qadar-Nya.

Pada 21 hb Mei 2011 jam 2.14 petang negara dikejutkan dengan satu musibah tanah runtuh melibatkan Rumah Anak -anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah At-Takwa Hulu Langat Selangor melibatkan kematian 16 orang penghuninya  dan puluhan lagi cedera parah.

Kejadian menyayat hati ini berlaku setelah berlaku kejadian tanah runtuh di kediaman mewah Bukit Antarabangsa, Ulu Klang beberapa tahun yang lalu.

Sebagai orang yang beriman dan bertakwa kita reda dengan kejadian yang telah berlaku kerana semuanya di luar jangkaan manusia. Tetapi Allah SWT menyuruh hamba-hamba-Nya berikhtiar dan berusaha untuk mengelakkan perkara-perkara yang boleh mendatangkan risiko kejadian kerosakan di muka bumi.  

Sebagai iktibar untuk masa-masa akan datang setiap pihak perlulah lebih teliti dan berhati-hati untuk memastikan strukur tanah-tanah stabil dan tidak akan berlaku lagi keruntuhan tanah-tanah di lereng-lereng bukit yang melibatkan bangunan-bangunan di sekitarnya. Pihak yang berwajib sama ada daripada agensi Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri perlulah bersikap pro-aktif untuk membuat kajian dengan teliti dan mengambil tindakan segera dengan mengurangkan birokrasi untuk mengatasi masalah tersebut supaya peristiwa sedih dan menyayah hati ini tidak berulang lagi.

Sahabat yang dimuliakan,
Kita mengucapkan salam takziah buat keluarga mangsa yang kehilangan ahli keluarga masing-masing dalam peristiwa tanah runtuh di Hulu Langat , bersabarlah dengan musibah ini kerana ini adalah ujian daripada Allah SWT sesungguhnya yakinlah peristiwa ini mengandungi hikmah daripada Allah SWT.

Firman Allah S.W.T maksudnya : "Apa yang ada di sisimu akan lenyap, dan apa yang ada di sisi Allah adalah kekal.Dan Kami pasti akan memberi balasan kepada orang yang sabar dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang mereka kerjakan." (Surah an-Nahl ayat 96)

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya, besarnya pahala sesuai dengan besarnya cubaan. Sesungguhnya, jika Allah mencintai suatu kaum, maka Dia akan menguji mereka. Barang siapa yang reda dengan musibah itu maka baginya keredaan Allah. Dan barang siapa yang marah (tidak reda) dengan musibah berkenaan, maka baginya kemurkaan Allah.”
(Hadis riwayat Tirmidzi)

Sabda Rasulullah lagi yang maksudnya: “Setiap sesuatu itu mempunyai hakikat dan tidaklah seorang hamba mencapai hakikat iman sehingga dia menyedari musibah yang menimpanya bukan untuk menyalahkannya dan kesalahan yang dilakukannya bukan sebab untuk ditimpakan musibah kepadanya.”

Berdasarkan hadis Nabi SAW , kematian disebabkan runtuhan bangunan (kerana tanah runuh) adalah mati syahid.

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Kalangan syuhada itu ada lima; orang yang mati kerana wabak kolera, kerana sakit perut, tenggelam, tertimpa runtuhan bangunan dan syahid berperang di jalan Allah.” (Hadis riwayat Imam Bukhari, Muslim, at-Tirmidzi dan Ahmad)

Kita berdoalah kepada Allah SWT semoga kesemua mereka berjumlah 16 orang yang mati dalam kejadian tersebut mendapat mati syahid.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. Sesungguhnya Rasulullah S.A.W bersabda di dalam Hadis Qudsi: Allah SWT  berfirman yang maksudnya :
"Tidak ada balasan kecuali syurga bagi hamba-Ku yang beriman yang telah Aku ambil kembali kekasihnya (Aku mematikan seseorang yang disayanginya seperti anak, adik-beradik dan sesiapa sahaja yang di sayangi oleh seseorang) dari kalangan penghuni dunia dan dia hanya mengharapkan pahala daripadaKu (dengan bersabar). "
(Hadis Riwayat Imam Bukhari).

Sahabat yang dikasihi,
Sebelum kejadian tersebut berlaku seorang ibu kepada seorang mangsa kejadian tanah runtuh tidak menyangka mimpi dialami memberi petanda akan kehilangan anak tersayang.

Nurhayati Kasim, 46 tahun, yang kehilangan anak keempat daripada lima beradik, Ahmad Lokman Hakim Abd Satar, 11 tahun, berkata beliau didatangi tiga mimpi yang sama dalam tempuh seminggu sebelum kejadian. Anaknya (Allahyarham Lokman Hakim) dalam mimpi tersebut berpakaian jubah putih datang mencium tangan dan memeluk beliau dengan wajah tersenyum.  

Nurhayati berkata . "Saya sememangnya amat merindui arwah dan mimpi yang sama sebanyak tiga kali ini menyebabkan saya rasa gusar kerana arwah datang dalam keadaan demikian. Namun , apabila memikirkan kembali, saya bersyukur melihat keadaan arwah tersenyum dengan wajah tenang." katanya kepada Sinar Harian.

Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : “Apabila seseorang darimu melihat mimpi yang menggembirakannya maka hendaklah ia mengucapkan 'alhamdulillah' dan ceritakannya kepada orang yang lain, dan sebaliknya apabila ia melihat mimpi yang mendukacitakannya, maka mimpi itu adalah daripada syaitan, kerana itu hendaklah ia mengucapkan isti’azah (a’uuzubillahi minasysyaitoonir roojiim) dan jangan ceritakannya kepada orang lain kerana mimpi itu tidak mendatangkan mudarat kepadanya.”(Hadis Riwayat Bukhari dari Abi Sa’id).

Dalam hadis yang lain Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : "Mimpi baik itu daripada Allah dan mimpi buruk itu daripada syaitan, maka ketika salah seorang daripada kamu mimpi buruk, meludahlah ke arah kiri tiga kali, kemudian minta perlindungan kepada Allah, maka mimpinya tidak akan mengkhuatirkan." (Hadis Riwayat Muslim)

Anak-anak kecil yang meninggal yang belum sampai usia baligh atau taklif. Diriwayatkan oleh Nasai dengan sanad baik, ”Bahwa pada hari kiamat anak-anak kecil akan berdiri lalu dikatakan kepada mereka,’Masuklah ke syurga.’ Maka mereka mengatakan,’(Saya akan masuk) sehingga bapak-bapak kami masuk (juga) ke syurga.’ Dikatakan kepada mereka, ’Masuklah kalian dan bapak-bapak kalian ke syurga.” Hadis ini dikuatkan oleh hadis-hadis sahih lain yang diriwayatkan oleh Muslim dan yang lainnya. (Fatawa Al Azhar juz VIII hal 104)


Marilah sama-sama kita bermuhasabah diri kita sendiri semoga setiap kejadian yang berlaku dalam masyarakat kita akan menginsafkan diri kita dengan kematian dan kita akan sentiasa meningkatkan amal soleh, amal ibadah dan amal kebaijikan sebagai bekalan kita untuk dibawa ke sana nanti.  Mereka yang telah pergi dahulu kita doakan semoga mereka mendapat rahmat dan kasih sayang daripada Allah SWT dan diharapkan Dia juga menerima amalan kita dan menerima 
taubat kita kepada-Nya. 

By Ustaz Abu Basyer Via Facebook

3 comments:

  1. betul tuh.. sesungguh nya merekA syahid ke jalan Allah.. alhamdulillah

    ReplyDelete
  2. Alhamdu lillah, mereka syahid =)

    ReplyDelete
  3. mudah-mudahan... mereka masih kank2 dan pemergian mereka adalah kehendakNya.. moga syurga tempat mereka..amin

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Ping your blog, website, or RSS feed for Free