/>
Remember Allah In Every Beat Of Your Heart

Tuesday, May 31, 2011

CERITA SEDIH SEORANG BLOGGER

Saya sengaja menggelar diri Blogger kecil-kecilan, masakan tidak..kadang-kadang muncul kadang-kadang menyepi.
kali ini saya muncul setelah beberapa hari menyepikan diri. Sepi daripada sebarang post baru mahupun blogwalking.

Sebenarnya selepas hari Selasa minggu lepas saya ada menulis post baru tapi tergendala akibat kekangan masa. Hasrat untuk meneruskan post baru tambah tergendala akibat musibah yang menimpa.

Mungkin sudah menjadi perancangan Allah untuk menggerakkan hati saya supaya terus menyentuh cerita sedih di sebalik kematian.
Bukan pasal anak yatim lagi, tapi kali ini kematian yang ada kena mengena dengan diri saya.

Ini tentang Muhammad Arif Al-Amin anak saudara saya yang baru saja berusia 18 tahun. 
Berita tentang kematiannya pada sebelah petang 27hb. Mei 2011 bersamaan hari Jumaat betul-betul mengejutkan saya.
Sudah lama kami tidak bersua muka, mungkin sudah 3 kali raya. Namun dalam pertemuan kali ini saya hanya dapat menatap sekujur tubuh yang sudah kaku berselimutkan kain kapan.
Seluruh ahli keluarga yang setia menanti sejak petang cukup berdebar-debar apabila melihat van jenazah Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru memasuki perkarangan rumah ibu saya sekitar jam 12.30 malam.


Van Jenazah Hospital Sultanah Aminah membawa arwah pulang 

Pada saat jenazah diusung keluar dari van jenazah Muhammad Arif mulai kedengaran esakan kecil ibu saya sehingga menimbulkan rasa sebak di hati ahli keluarga yang lain. Tambah sebak apabila terngiang-ngiang kata-kata terakhirnya kepada ibu saya sebelum meninggalkan rumah menuju ke hospital pada pagi 26hb. Mei 2011 untuk mendapatkan rawatan ke atas lututnya yang membengkak akibat terjatuh. Kata-katanya itu memberi isyarat seolah-olah itulah kali terakhir kami melihatnya. Namun ajal maut itu bukankah rahsia Allah, ibu tidak sampai terfikir ke arah itu begitu juga kami sehinggalah tubuh yang kaku berada di depan mata.


Jenazah Muhammad Arif setelah dimandi dan dikafankan

Arwah meninggalkan kami pada usia muda namun kenangan bersama arwah semasa hidupnya terlalu banyak dan paling saya ingat arwah semasa berusia 2 tahun amat gemar bermain dengan lesung batu dan menggoncang-goncangkan rak pinggan di dapur ibu saya. Semasa remajanya sangat lasak dan meminati bola sepak.
Kini semuanya menjadi kenang-kenangan buat kami sekeluarga lebih-lebih lagi kakak dan abangnya yang sangat rapat dengan arwah.

Jenazah disembahyangkan di rumah


Imam sedang membacakan talkin

 Saya sempat meneliti borang laporan kematian arwah yang mencatatkan kecederaan paru-paru sebagai punca kematian. Agak bingung juga memikirkan tentang punca kematian arwah yang tidak sepadan dengan kecederaan yang dialaminya di bahagian lutut namun keengganan ayah arwah membenarkan postmortem dibuat menyebabkan kami terpaksa akur dan menerima ini sebagai takdir Allah S.W.T.
Saya paparkan beberapa keping gambar bukan sebagai kenangan cuma malah sebagai iktibar untuk diri saya sendiri bahawa MATI ITU PASTI sebagaimana yang saya dengar talkin yang dibacakan oleh imam semasa pengkebumian arwah:

Maha suci Tuhan yang Engkau bersifat dengan Baqa' dan Qidam, Tuhan yang berkuasa mematikan sekalian yang bernyawa, Maha suci Tuhan yang menjadikan mati dan hidup untuk menguji siapa yang baik dan siapa yang kecewa.

Maha suci Tuhan yang menjadikan lubang kubur sebesar-besar pengajaran untuk menjadi iktibar kepada orang yang lalai, dan sebesar-besar amaran kepada orang yang masih hidup.

Ingatlah! Bahawa sekalian makhluk Allah akan jahanam dan binasa, melainkan zat Allah Taala. Dialah Tuhan yang Maha besar kuasa menghukum, manakala kita sekalian akan kembali menghadap hadirat Allah Taala.

Wahai SAYA Bin IBU SAYA, wahai SAYA Bin IBU SAYA, wahai SAYA Bin IBU SAYA, hendaklah kamu ingat akan janji-janji Allah yang mana kamu ada bawa bersama-sama dari dunia ini.
 Sekarang kamu telah menuju masuk ke negeri Akhirat. Kamu telah mengaku bahawa tiada Tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah, dan bahawasanya Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah.
 Ingatlah wahai SAYA Bin IBU SAYA, apabila datang kepada kamu dua orang malaikat yang serupa dengan kamu iaitu Mungkar dan Nakir, maka janganlah berasa gentar dan takut, janganlah kamu berdukacita dan risau serta janganlah kamu susah hati dan terkejut.
 Ketahuilah wahai SAYA Bin IBU SAYA, bahawasanya Mungkar dan Nakir itu hamba Allah Taala, sebagaimana kamu juga hamba Allah Taala. Apabila mereka menyuruh kamu duduk, mereka akan menyoal kamu.

Mereka berkata:
Siapakah Tuhan kamu?
Siapakah Nabi kamu?
Apakah agama kamu?
Apakah kiblat kamu?
Siapakah saudara kamu?
Apakah pegangan iktikad kamu?
Dan apakah kalimah yang kamu bawa bersama-sama kamu? Pada masa itu hendaklah kamu menjawab soalan-soalan mereka dengan cermat dan sehabis-habis terang, tepat dan betul.
 Janganlah berasa gementar, janganlah takut dan janganlah tergopoh-gapah, biarlah tenang dan berhati-hati.
Hendaklah kamu jawab begini:

Allah Taala Tuhanku,

Muhammad nabiku,

Islam agamaku,

Kitab suci Al-Quran ikutanku,

 Baitullah itu qiblatku, malahan sembahyang lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, mengeluarkan zakat dan mengerjakan haji diwajibkan ke atas aku. Semua orang Islam dan orang yang beriman adalah saudara aku, bahkan dari masa hidup hingga aku mati aku mengucap: "La ila ha illallah Muhammaddur rasulullah".

Wahai SAYA Bin IBU SAYA tetapkanlah hatimu, inilah dia suatu dugaan yang paling besar. Ingatlah bahawa kamu sekarang sedang tinggal didalam alam Barzakh, sehingga sampai satu masa kelak, kamu akan dibangunkan semula untuk berkumpul di Padang Mahsyar.

 Insaflah wahai SAYA Bin IBU SAYA, bahawasanya mati ini adalah benar, soalan malaikat Mungkar dan Nakir di dalam kubur ini adalah benar , bangun dari kubur kemudian kita dihidupkan semula adalah benar , berkumpul dan berhimpun di Padang Mahsyar adalah benar, dihisab dan dikira segala amalan kamu adalah benar, minum di kolam air nabi adalah benar, serta syurga dan neraka adalah benar.

 Bahawasanya hari Kiamat tetap akan ada, begitu juga Tuhan yang maha berkuasa akan membangkitkan semula orang-orang yang berada di dalam kubur.

 Di akhirnya kami ucapkan selamat berpisah dan selamat tinggal kamu di sisi Allah Taala. Semoga Tuhan akan memberi sejahtera kepada kamu. Tuhan jua yang menetapkan hati kamu. Kami sekalian berdoa mudah- mudahan Allah Taala menjinakkan hati kamu yang liar, dan Allah menaruh belas kasihan kepada kamu yang berdagang seorang diri di dalam kubur ini. Mudah-mudahan Tuhan akan memberi keampunan dan memaafkan kesalahan kamu serta menerima segala amal kebajikan kamu.

 Ya Allah Ya Tuhan, kami merayu dan bermohon kepadaMu supaya tidak diseksa mayat ini dengan kemegahan penghulu kami Muhammad SAW.

Video di bawah menunjukkan saat-saat arwah dimasukkan ke dalam liang lahad. Semoga roh arwah Muhammad Arif dicucuri rahmatNya dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang soleh. 


3 comments:

  1. al- fatihah..semuga beliau ditempatkan dikalangan org2 yg beriman...amin, takziah buat Normah dan keluarga..semuga tabah menghadapi ujian dari Allah..

    ReplyDelete
  2. Al-Fatihah... Semoga Allah ampunkan segala dosa arwah dan ditempatkan arwah bersama golongan yang beriman..

    ReplyDelete
  3. Al fatihah....Takziah buat kau, keluarga arwah serta saudara2 terdekatnya

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...