/>
Remember Allah In Every Beat Of Your Heart

Monday, December 26, 2011

HUKUM MERAIKAN DAN MENGUCAPKAN 'MERRY CHRISTMAS'


Saya ditanya oleh rakan FB bolehkah kita mengucapkan selamat Hari Natal/Krismas kepada rakan penganut Kristian kita?

Oleh kerana saya bukan mufti, saya perturunkan fatwa berkaitan dengannya:

Pendapat yang mengharuskan:

1. شيخ الدكتور مصطفى الزرقا _ رحمه الله.ـ (Syeikh Dr. Mustafa Zarqa) ketika menjawab soalan tentang hukum i) Ucapan Selamat Hari Natal/Krismas dan Selamat Tahun Baru; ii) Mencetak Kad Hari Krismas, Kad Selamat Tahun Baru dan Kad Harijadi peribadi; 
iii) Perniagaan menjual kad-kad yang disebutkan tadi; beliau menyatakan:
Bahawa mengucapkan tahniah/selamat hari raya Krismas kepada kenalan Kristian yang merayakan hari Kelahiran Al-Masih – عليه الصّلاة والسلام – pada pendapat saya termasuk dalam bab kesopanan (mujamalah) dan keelokan dalam pergaulan. Sesungguhnya Islam tidak melarang kita daripada berbuat baik seumpama ini terhadap mereka lebih-lebih lagi Isa Al-Masih itu dalam akidah Islam kita, beliau adalah salah seorang rasul Allah, termasuk dalam golongan Ulul-’Azmi. Beliau juga dimuliakan dalam Islam, akan tetapi mereka (kaum Kristian) berlebih-lebihan dalam mengagungkan mereka dan beriktikad bahawa Isa itu adalah tuhan, Maha Tinggi Allah daripada apa yang mereka perkatakan.

Sesiapa yang keliru, dengan mengatakan sambutan hari kelahiran Isa ini adalah perayaan mereka (seperti Aidilfitri dan aidil Adha), maka ia adalah haram, kerana ianya mempunyai kaitan dengan aqidah Kristian tentang ketuhanan Isa. Orang yang beriktiqad macam ini adalah salah. Mujamalah ini tidak ada kaitan dengan perincian aqidah mereka terhadap Nabi Isa dan sikap keterlaluan mereka dalam aqidah mereka.

Diriwayatkan bahawa Nabi Muhammad – صلّى الله عليه وسلم – tatkala baginda صلّى الله عليه وسلم bersama-sama sahabat, lalu satu jenazah Yahudi, baginda صلّى الله عليه وسلم lantas berdiri. Berdiri Rasulullah صلّى الله عليه وسلم itu adalah penjelasan tentang betapa hebat dan agungnya kematian itu, tidak ada kaitan dengan aqidah jenazah tersebut (yakni bukan kerana hendak menghormati aqidah jenazah tersebut)

Orang-orang Islam dituntut menzahirkan kebaikan dan kesederhanaan Islam kepada non-muslim, tidak boleh seorang pemimpin Islam paksa rakyatnya yang non-muslim atau ahli zimminya supaya memeluk Islam bahkan, hendaklah bertasamuh (toleransi) dengan mereka dan biarkan mereka dengan agama mereka.

Tambahan lagi, orang Islam di serata alam sekarang ini dalam keadaan lemah, berbanding bangsa-bangsa lain, negara-negara besar membuat konspirasi ke atas negara muslim dan menuduh mereka sebagai pengganas …..tugas utama muslim sekarang ialah membersihkan gambaran negara mereka yang telah diletakkan oleh negara Barat.

Lebih-lebih lagi, pada Hari Raya ‘Idul Fitri dan ‘Idul Adha, mereka sering dikunjungi oleh sahabat-handai yang beragama Kristian bagi meraikan dan mengucapkan selamat hari raya. Jika pada hari raya mereka (Kristian), orang-orang Islam tidak pula menziarahi mereka, maka mungkin menjadi tanggapan bahawa benarlah apa yang dituduh ke atas Islam selama ini, dan juga orang-orang Islam tidak bersedia untuk bercampur dan bergaul dengan mereka.

Hukum yang disebut tentang hari raya kelahiran Isa (Krismas), adalah sama juga dengan hukum perayaan menyambut tahun baru kerana ianya tiada kaitan dengan aqidah. Ia sekadar permulaan sejarah (tarikh) sahaja. Para sahabat, tatkala sayyedina Omar – رضي الله عنه – mengumpulkan mereka untuk berbincang bagi menentukan peristiwa manakah yang patut diambil bagi menetapkan permulaan tahun hijrah, mereka mengetepikan pendapat-pendapat yang bergantung kepada tarikh-tarikh Rom atau tarikh Yahudi. Jika sekiranya perkara ini haram, sudah tentu mereka tidak mencadangkannya sedari awal lagi.

Apabila kita telah mengetahui hukum syara’ tentang mengucapkan tahniah (mengucapkan selamat Hari Raya), maka secara tidak langsung kita juga tahu hukum mencetak dan meniagakan kad-kad tersebut (kad hari raya Krismas sebagai contoh, atau kad selamat tahun baru). Kerana, selagimana ini daripada jalan yang harus, maka ia menjadi harus.

Perlu diberi perhatian bahawa, mengucapkan Selamat Hari Krismas kepada kawan-kawan non-muslim atas alasan menjaga persahabatan dan perhubungan (bukan atas dasar aqidah) adalah harus, tetapi merayakan Tahun Baru dengan pengisian-pengisian mungkar di dalamnya, itu adalah haram.

Ini yang jelas bagi saya والله سبحانه أعلم (Allah S.W.T. saja yang lebih mengetahui) (Rujukhttp://www.islamonline.net/fatwaapplication/arabic/display.asp?hFatwaID=17894)

2. Prof. Dr. Yusuf al-Qardhawi berpendapat hukum mengucapkan selamat Hari Raya kepada orang bukan Islam seperti Hari Krismas adalah harus, jika mereka memulakan ucapan selamat Hari Raya kepada kita.

Al-Qardhawi berpendapat, Islam tidak melarang kita berbuat baik terhadap ahli kitab yang tidak bermusuh dengan kita. Kita harus berbuat baik kepada mereka sebagaimana mereka berbuat baik kepada kita. Sesuai dengan firman Allah SWT dalam surah Al-Mumthanah ayat 8,

"Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan berlaku adil kepada orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampong halaman kamu ; sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil".

Pendapat beliau ini disokong oleh Majlis Fatwa dan Penyelidikan Eropah, dengan fatwa yang dikeluarkan seperti berikut,

Sesungguhnya mengucapkan selamat kepada orang bukan Islam pada hari perayaan mereka merupakan lebih daripada kewajipan jika mereka mengucapkan selamat pada hari perayaan Islam. Hujahnya ialah kerana kita diperintahkan membalas perlakuan baik dengan perlakuan yang serupa dan membalas ucapan selamat dengan ucapan yang sama baiknya. Allah SWT berfirman,

Apabila kamu dihormati dengan sesuatu penghormatan, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik atau balaslah (dengan yang serupa). Sesungguhnya Allah menghitungkan segala sesuatu. (Surah An-Nisaa’ : 86)

Oleh yang demikian, tidak ada suatu pun yang menghalang orang Islam daripada mengucapkan ‘selamat’ kepada orang bukan Islam baik secara lisan mahupun tulisan seperti menghantar kad dengan syarat kad yang dihantar tidak mempunyai lambang atau kata-kata agama yang bertentangan dengan prinsip akidah Islam.


Pendapat yang mengharamkan.

Antara ulama yang mengharamkannya ialah Sheikh Muhammad Saleh al-Munajjid, salah seorang ahli majlis fatwa kerajaan Arab Saudi. Beliau berpendapat perbuatan mengucapkan selamat pada hari-hari kebesaran orang bukan Islam adalah bertentangan dengan asas-asas akidah Islam. Beliau berhujah, hari perayaan agama kaum lain pada hakikatnya adalah syiar agama mereka. Umat Islam disuruh tidak meniru syiar dan budaya kaum bukan Islam. Dalam sebuah hadis sahih Rasulullah saw bersabda yang bermaksud, “Barangsiapa meniru syiar sesuatu kaum (bukan Islam), maka ia termasuk dalam golongan mereka ” (Sahih riwayat Abu Daud).

Selain itu, dalam satu kaedah, di mana para ulama Islam telah mengambil ketetapan iaitu redha kepada kekufuran adalah kufur. Justeru mengucapkan selamat Hari Raya kepada orang bukan Islam termasuk rela terhadap kekufuran mereka. Keadaannya sama seperti kita merelai dosa-dosa besar seperti zina, minum arak dan sebagainya. 

Kesimpulan:

Sebagai kesimpulan, saya memilih jalan yang lebih sederhana dalam isu ini. Adalah jelas haram bagi umat Islam menyertai Hari raya kaum bukan Islam seperti memasang lampu warna-warni di sekeliling rumah, menghias rumah dengan pokok krismas, menyertai perarakan Thaipusam dan lain-lain kerana amalan ini ada hubung kait dengan akidah. Begitu juga adalah haram bagi umat Islam jika mengucapkan selamat Hari Raya kepada orang bukan Islam pada hari-hari kebesaran agama mereka jika ianya bermaksud untuk sama-sama berhari raya dengan mereka, merelai kekufuran mereka dan berkasih sayang dengan mereka atas nama agama (mereka).

Tetapi jika maksud ucapan ‘selamat’ pada hari-hari kebesaran kaum bukan Islam itu tidak lebih hanya ikut bercuti pada hari itu, membalas ucapan selamat Hari Raya yang diucapkan terdahulu, maka saya kira pengucapan seumpama ini tidak termasuk dalam hal-hal akidah yang sekaligus menunjukkan rela hati terhadap agama dan kepercayaan mereka.


Sama seperti sekiranya mereka menghulurkan makanan yang halal kepada kita dan kita terimanya dengan baik hati, serta mengucapkan terima kasih dengan makanan atau hadiah yang diberi, saya kira ia tidak ada kena mengena dengan akidah, bahkan kita harus menerimanya selagi mana ia adalah halal dan suci.

Demikian juga jika pada hari-hari kebesaran itu merupakan hari kelepasan am, semua pejabat dan kakitangan kerajaan diberi cuti, termasuk kakitangan yang beragama Islam. Saya tidak fikir jika kita bersuka ria kerana bercuti pada hari itu (bukan kerana merayakan Hari krismas atau lain-lain), maka kita boleh dianggap turut membesarkan syiar agama dan budaya kaum bukan Islam.

Wallahua'lam.

Ref/Source:
http://www.facebook.com/ustazhashim
( Artikel oleh: Anwar Fazil - rakan FB ana )

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Ping your blog, website, or RSS feed for Free