/>
Remember Allah In Every Beat Of Your Heart

Saturday, April 30, 2011

Sumpah Laknat Mendapat Laknat Allah Kerana Mengaibkan Seorang Muslim



Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.




Sahabat yang dirahmati Allah,
Umat Islam masih digemparkan dengan 'sumpah laknat' dan  video seks, oleh invididu yang tertentu yang membuat dakwaan-dakwaan tanpa membawa bukti yang sahih berdasarkan kehendak syarak.


Umat Islam keliru adakah boleh mengikhtiraf  sumpah laknat yang dibuat oleh seseorang dengan hanya mendengar dakwaannya dan sumpahnya atau menyediakan video seks sebagai bahan bukti?


Perlu diingat, Islam ada peraturan yang sempurna dan lengkap untuk kehidupan manusia sama ada di dunia dan hari akhirat. Jika kita beriman kepada al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW kita wajib mengikut kedua sumber tersebut dan tidak boleh mengikut hawa nafsu dan akal manusia untuk meletakkan sesuatu hukum.


Di dalam hukum Islam apabila kita membuat tuduhan  seseorang itu berzina mestilah membawa 4 orang saksi Islam yang adil bukan sumpah laknat dan video seks. Berdasarkan firman Allah SWT  maksudnya : "Dan orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik (berbuat zina) dan mereka tidak mendatang 4 orang saksi, maka deralah mereka (yang menuduh itu) lapan puluh kali dera, dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-lamanya. Dan mereka itulah orang-orang yang fasik, kecuali orang yang bertaubat sesudahnya itu dan memperbaiki (dirinya), maka sesungguhnya Allah maha Pengampun lagi Maha Penyayang". (Surah an-Nuur ayat 4-5)


Ulama sepakat mengatakan bahawa hukuman qazab yang di jatuhkan kepada penuduh yang menuduh wanita baik berzina, juga hukuman ini untuk orang yang menuduh lelaki baik  berzina. Hukum qazab adalah 80 kali deraan dengan menggunakan rotan kepada penuduh yang gagal membawa 4 orang saksi  yang adil.


Seseorang hanya dihukum bersalah dan dikenakan hukum hadd dalam kes zina hanya dengan dua cara sahaja iaitu 1. Membawa 4 orang saksi Islam yang adil dan 2. Pengakuan secara sukarela orang yang melakukan zina. Selain itu tidak akan diterima sebagai bukti untuk menghukum seseorang itu, sama ada video seks, DNA, gambar atau dakwaan.


Pernah berlaku pada  zaman sahabat Rasulullah SAW, Sayyidina Umar bin al-Khatab berjumpa Sayyidina Ali k.w mengatakan bahawa dia pernah melihat seorang lelaki dan wanita berzina, apakah harus dia lakukan maka Sayyidina Ali berkata bawalah 4 orang saksi yang adil atau dihukum dengan hukum qazab jika tidak dibawa cukup saksi (jika dakwaan itu ingin diteruskan). Bayangkanlah agama Islam cukup menjaga kemaslahatan umat Islam dan tidak akan menghukum seseorang apabila tidak memenuhi syaratnya walaupun yang melihatnya seorang yang tidak diragui kebenarannya (Sayyidina Umar).


Dalam kes mubahalah (sumpah laknat) hanya berlaku pertikaian antara suami isteri yang mana suaminya menuduh isterinya melakukan zina sedangkan si suami tidak membawa 4 orang saksi maka ketika ini mereka berdua boleh bersumpah laknat, bala Allah SWT akan turun kepada  salah seorang daripada mereka yang berdusta.


Dalam kes tuduhan zina kepada seseorang tidak perlu mubahalah kerana telah ada nas yang khusus perlu merujuk kepada surah an-Nuur ayat 4-5) iaitu perlu membawa 4 orang saksi yang adil. Jika gagal mahkamah syariah perlu membuat dakwaan dan menghukum mereka yang membuat dakwaan tanpa membawa saksi dengan hukum qazab.


Firman Allah SWT maksudnya : "Dan janganlah kamu jadikan (nama) Allah dalam sumpah kamu sebagai benteng yang menghalangi kamu daripada berbuat baik dan bertakwa, serta mendamaikan perbalahan antara sesama manusia. Dan (ingatlah), Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa mengetahui. Allah tidak mengira kamu bersalah tentang sumpah kamu yang tidak dimaksudkan (untuk bersumpah), tetapi Dia mengira kamu bersalah (dan akan mengenakan hukuman) dengan sebab sumpah yang diusahakan (disengajakan) oleh hati kamu (dengan niat bersumpah) dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar. (Surah al-Baqarah ayat 224-225)


Asbabun Nuzul ayat 224 : Ibnu Juraij r.a berkata, "Abu Bakar r.a bersumpah untuk tidak memberi nafkah kepada Misthah bin Utsaltsah, seorang miskin yang juga tanggungan Abu Bakar r.a. Hal ini kerana Misthah ikut memfitnah Aisyah r.ha, isteri Rasulullah SAW dan juga puteri Abu Bakar r.a. Allah SWT menegur Abu Bakar r.a melalui ayat ini.


Berdasarkan ayat di atas sumpah yang dibuat oleh Abu Bakar r.a kerana tak mahu membantu seorang yang miskin yang berdosa (membuat tuduhan) dilarang apatah lagi jika seseorang bersumpah untuk mengaibkan seseorang,  memutuskan silaturahim, cabar mencabar dan untuk mendatangkan fitnah dan kekecohan dalam masyarakat lebih-lebih lagi sangat dilarang.


Dari Ibnu Umar radhiyallahu 'anhu ia berkata : Rasulullah SAW naik ke atas mimbar, lalu memanggil dengan suara yang tinggi : "Wahai orang-orang yang beriman dengan lisannya dan iman itu belum sampai ke hati mereka, janganlah menyakiti orang-orang yang beriman, janganlah mencela mereka, dan janganlah mencari-cari aurat ( aib ) mereka, kerana barangsiapa mencari-cari aib saudaranya yang muslim, maka Allah membuka aibnya dan memalukannya walaupun dia berada di dalam rumahnya."
(Hadis Riwayat Tirmidzi).


Sahabat yang dimuliakan,
Apakah akibat yang akan diterima oleh  seseorang yang melafazkan sumpah laknat? 


Terdapat 6 akibat yang akan diterima :


Pertama : Mengaku berada bersama-sama semasa perbuatan zina dilakukan adalah berdosa besar kerana bersubahat.


Dia telah bersubahat dan merancang bersama-sama dengan perbuatan zina. Orang yang mengaku menyaksikan perbuatan zina (bersama-sama membuat perancangan) dia berdosa besar . Orang beriman akan cuba menghalang atau pun mencegah perbuatan itu dilakukan bukannya menyaksikan di hadapan matanya.


Kedua : Dia memasang cctv untuk merakamkan perbuatan zina adalah berdosa besar kerana mengintip keaiban seseorang.


Rasulullah SAW bersabda maksudnya :
" Hendaklah kalian menjauhi berburuk sangka kerana berburuk sangka itu adalah sedusta-dusta perkataan, dan janganlah mencari-cari kesalahan, dan janganlah kalian mengintip, dan janganlah saling membenci, dan janganlah saling membelakangi, jadilah kalian hamba-hamba Allah yang saling bersaudara" (Sahih: Hadis daripada Abu Hurairah radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh Ahmad, al-Bukhari, Muslim dan lain-lain, lihat Sahih al-Bukhari – no: 6724 (Kitab Faraid, Bab Pengajaran tentang Faraid).


Ketiga : Menceritakan kepada orang ramai perbuatan maksiat ( mujaharah) adalah berdosa besar. Allah SWT tidak akan ampun dosa seseorang yang mujaharah.


Rasulullah S.A.W. bersabda, maksudnya: “Semua umatku akan diampunkan dosanya kecuali orang yang mujaharah (terang-terangan dalam berbuat dosa) dan yang termasuk mujaharah adalah seorang yang melakukan perbuatan dosa pada malam hari, kemudian hingga pagi hari Allah telah menutupi dosa terbabit, kemudian dia berkata: ‘Wahai fulan semalam saya berbuat ini dan berbuat itu. Padahal Allah telah menutupi dosa tersebut semalaman, tetapi di pagi hari dia buka tutup Allah terbabit’ .” (Hadis riwayat Bukhari dan  Muslim)


Keempat : Dia minta laknat Allah menimpa dirinya  adalah sifat orang fasik.


Nabi SAW bersabda maksudnya : "Sesungguhnya , terdapat orang yang disebabkan ucapannyalah dia tergelincir ke dalam neraka yang luasnya antara masyrik dengan maghrib " Dan , dalam hadis lain yang senada dengan ini, "Hanya kerana satu perkataan yang membuat Allah benci, maka orang itu dimasukkan ke dalam neraka". (Hadis Riwayat Muslim)


Orang mukmin akan berdoa kepada Allah SWT supaya Dia mengampunkan segala dosa-dosanya bukannya untuk ditimpa musibah dan bala. Jika seseorang ingin mencari kebenaran atas maksiat orang lain sedangkan dia bersama-sama berada semasa maksiat itu dilakukan sebenarnya  dia minta Allah SWT timpakan laknat kepadanya. Kerana kemurkaan dan laknat Allah SWT akan ditimpakan kepada sesiapa saja yang mengaibkan orang lain dan bermujaharah.


Jika sumpah-sumpah seperti ini dibenarkan dalam Islam nescaya ramai orang-orang mukmin akan menjadi mangsa sumpah-sumpah palsu daripada orang-orang munafik dan fasik.


Kelima : Dia telah membuka ruang fitnah seluas-luasnya, perselisihan dan perbalahan sesama umat Islam dan memutuskan silaturahim dan mengadu domba.


Nabi SAW bersabda maksudnya : "Dari Al-Zuhri bahawa Rasulullah SAW  bersabda yang bermaksud : "Tidak akan masuk syurga bagi yang memutuskan silaturahim".
(Hadis Riwayat Muslim)


Nabi S.A.W berwasiat kepada Sayidina Ali k.wj: "Wahai Ali ! Saya melihat tulisan pada pintu syurga yang berbunyi "Syurga itu diharamkan bagi setiap orang yang bakhil (kedekut), orang yang derhaka kepada kedua orang tuanya, dan bagi orang yang suka mengadu domba (menghasut)."


Keenam : Menjadi muflis pada hari akhirat jika tidak bertaubat meminta maaf kepada orang yang diaibkan .


Dari Abu Hurairah r.a bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud :
“Tahukah kamu siapakah dia Orang Muflis?”


Sahabat-sahabat baginda menjawab :
“Orang Muflis antara kami, ya Rasulullah ialah orang yang tidak ada wang ringgit dan tidak ada harta benda.”


Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud :
“Sebenarnya Orang Muflis dari kalangan umatku ialah orang yang datang pada hari kiamat membawa sembahyang, puasa dan zakat , sedang datangnya itu dengan kesalahan memaki hamun orang ini, dan menuduh orang itu , memakan harta orang orang ini, menumpah darah orang itu dan juga memukul orang . Maka akan diambil daripada amal kebajikannya serta diberi kepada orang ini dan orang itu , kemudian kiranya habis amal kebajikannya sebelum habis dibayar kesalahan-kesalahan yang ditanggungnya , akan diambil pula daripada kesalahan-kesalahan orang yang dianiayakannya serta ditimpakan ke atasnya , kemudian ia dihumbankan ke dalam neraka.”
(Hadis Riwayat Muslim dan Turmizi)


Jika seseorang melakukan zina itu bertaubat kepada Allah SWT , Allah SWT Maha Pengampun kepada kesalahan hamba-hamba-Nya. Kerana dosa zina adalah dosa antara hamba dengan Tuhannya.


Tetapi dosa mengaibkan orang lain, membuat fitnah, mengadu domba, memutuskan silaturahim adalah dosa antara manusia sesama manusia. Jika manusia yang berbuat kesalahan sesama manusia tidak meminta maaf secara terbuka semasa di dunia, maka dia akan membawa dosa tersebut dan pada hari akhirat akan diambil pahalanya jika tidak cukup dosa orang yang diaibkan akan diberikan pula kepada orang yang mengaibkannya. Maka amat mudah orang tersebut akan menjadi muflis dan dihumbankan ke dalam neraka Jahannam.


Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita kuatkan iman kita supaya tidak tergugat dengan mempercayai berita fitnah dan berita mengaibkan saudara kita yang lain. Anggaplah berita itu fitnah supaya kita tidak terkena sahamnya. Jika kita mempercayainya sedangkan kita tahu orang yang menuduh tak bawa 4 orang saksi maka dosa kerana mempercayainya sama dengan orang yang membuat dakwaan itu iaitu dosa hukum qazab. Jika hukum itu tak diterima di dunia nanti orang-orang yang mendakwa dan mempercayainya akan dihukum oleh Allah SWT di hari akhirat. Nauzubillahiminzalik.


Banyakkan beristighfar dan minta doa kepada Allah SWT supaya kita dijauhi daripada fitnah akhir zaman. Wassalam.

(Entri ini saya 'share' daripada rakan fb saya Ustaz Abu Basyer) 





4 comments:

  1. yer.. hukum Allah siapa mampu untuk menolaknya. Saya sendiri kurang arif tentang hukum2 islam dan saya tidak berani menyentuh apa2..

    cuma sebagai manusia yang telah hidup di dunia ini.. pengalaman banyak mengajar saya..

    pendapat saya..
    berani kerana benar..
    kalau kita tidak mahu diri kita dilihat tidak baik.. pelihara diri kita! Adakala diam itu adalah yg terbaik.. namun sehingga maruah kita dipijak2.. perlukah kita berdiam ?? Saya rasa islam sendiri ada jalan penyelesaian bg menegakkan maruah diri kita sendiri.. dan berdiam diri dan menjauhkan diri itu bukanlah penyelesaiannya.. bersuaralah.. buktikan!!

    dan kita sebagai manusia biasa
    bukan perkara mudah untuk bersumpah dengan nama allah apatah lagi bersumpah dikhalayak ramai.. biarpun caranya masih tidak jelas.. melainkan kita berani kita kita tahu kita benar !!

    saya tidak tahu siapa yg benar.. siapa yang salah.. namun Allah itu Maha Adil.. Dia Yang Maha Tahu..

    saya minta maaf yer saudari, kalau kata2 saya menggangu hati dan perasaan saudari sendiri. Yang baik adalah dari Allah.. dan yang tidak baik adalah dari kekurangan saya.. kecetekan ilmu saya sendiri..

    saya sendiri keliru.. siapa yang benar dan sapa yang salah.. namun perhitungan allah itu pasti ada.. sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua.. betul bukan?

    ReplyDelete
  2. nice entry....saya respect ustaz yang bagi tazkirah sebelum dato SK buat sumpah laknat. dia tampil memberi penerangan ttg hukum dan akibat sumpah laknat yang tiada dalam syariat islam itu...saya berani katakan separuh daripada hadirin pada masa itu tidak mengetahui akan hal itu...syabas.

    ReplyDelete
  3. Sumpah dibolehkan untuk orang yang teraniaya.Adakah perempuan yang dirogol perlukan 4saksi...sedangkan diri dia sendiri di rogol?Sebaliknyadiri dia sendiri boleh menjadi saksi berdasarkan bukti dari DNA dan air mani tertuduh.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Ping your blog, website, or RSS feed for Free